Terima hakikat Islam agama rasmi
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua pihak harus menerima hakikat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan ia tidak boleh diubah dalam apa juga keadaan.
"Ia adalah kerana realitinya kita mempunyai Perlembagaan Negara dan peruntukannya adalah amat jelas tentang kedudukan Islam dan agama-agama lain," kata Najib selepas mengadakan pertemuan dengan 22 orang pemimpin dan cendekiawan Islam di sini semalam.
Dalam apa jua keadaan, katanya, Perlembagaan Negara tidak boleh dipinda dan oleh itu semua pihak tidak seharusnya berasa bimbang, gundah gelana atau gelisah di dalam hal itu.
Antara pemimpin dan cendekiawan Islam yang hadir ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin.
Najib berkata, dalam pertemuan selama sejam itu, beberapa isu semasa turut dibincangkan termasuk isu 'menukar' agama lain sebagai agama rasmi negara yang dilaporkan sebelum ini.
"Saya sememangnya berjumpa dengan pemimpin Islam dari semasa ke semasa tetapi dalam keadaan yang sedang berlaku sekarang ini, amat penting saya berjumpa dengan kumpulan ini dan sekali lagi kita bincang atas isu ini dan juga perkara-perkara yang lain," katanya.
No comments:
Post a Comment